DUA orang pengemis ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam satu operasi yang dijalankan di Pasar Pasir Tumboh, Kota Bharu kelmarin. - Foto Ihsan JKM
KOTA BHARU 17 Jan. – Biarpun hanya mengemis, seorang wanita mampu untuk memiliki kereta sendiri dan mendapat pendapatan lebih RM3,000 sebulan dengan ‘pekerjaan’ tersebut.
Wanita yang dikenali sebagai Fatimah itu mengakui keluar untuk mencari lokasi sesuai di sekitar bandar ini dengan memandu sendiri kereta Perodua MyVi miliknya.
Dia yang cacat pada kedua-dua kakinya turut mendakwa mendapat hasil sekurang-kurangnya RM100 sehari hasil daripada aktiviti tersebut.
Fatimah berkata, selain daripada pendapatan mengemis, dia turut menerima bantuan daripada JKM sebanyak RM350 sebulan.
“Saya terpaksa mengemis untuk mendapatkan wang untuk dua anak saya ke sekolah dan wang ini juga akan digunakan untuk membuat pusingan modal membuat kuih,” katanya ketika ditemui selepas operasi membanteras pengemis di Pasar Tani Pasir Tumboh, di sini kelmarin.
Difahamkan selepas memilih lokasi yang sesuai, dia yang memakai baju lusuh akan duduk bersila di pasar tani sambil menadah botol air yang dipotong untuk meminta simpati orang ramai.
Sementara itu, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Cawangan Pematuhan, Wan Nor Hashim Wan Noh berkata, wanita tersebut telah ditahan beberapa kali sebelum ini kerana mengemis biarpun hidupnya agak mewah.
“Cacat bukan alasan untuk mengemis, dia masih mampu lagi untuk bekerja menyara keluarga malah kita sedia membantu sekiranya dia benar-benar mahu berniaga,” katanya.
No comments:
Post a Comment